Dua kanak-kanak parah jatuh dari siling
KEADAAN siling sebuah bangunan lapan tingkat yang pecah selepas dua orang kanak-kanak yang cuba menangkap burung merpati di atas bumbung bangunan itu sebelum terjatuh dan cedera parah. - UTUSAN ONLINE

Kejadian berlaku kira-kira pukul 1.30 petang dan dua kanak-kanak berusia lapan dan 11 tahun itu kini masih dirawat di zon kecemasan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) di sini akibat kecederaan di kepala.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, hasil siasatan awal mendapati, kejadian berlaku ketika dua kanak-kanak berkenaan sedang memanjat bumbung di tingkat lapan flat berkenaan untuk menangkap burung merpati.

“Kedua-dua mereka ini telah memanjat tangki air di atas bangunan lapan tingkat itu, bagaimanapun terjatuh ke atas lantai tingkat berkenaan selepas siling yang dipijak mereka pecah.

“Akibatnya, kedua-dua mangsa mengalami kecederaan di kepala dan kini sedang mendapat rawatan di HTAR,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Shamsul Amar berkata, keadaan kanak-kanak itut masih dalam pemerhatian doktor di zon kecemasan dan pihak hospital akan menjalankan pemeriksaan x-ray terhadap kanak-kanak tersebut. - UTUSAN ONLINE