Norhizan Ismail
NORHIZAN

Pengarah Kesihatan Kedah, Datuk Dr. Norhizan Ismail berkata, sembilan kes dengan dua kematian dilaporkan di Perak dan 10 kes lagi di Kedah.

“Susulan daripada maklumat yang tular melalui media sosial baru-baru ini, Kementerian Kesihatan memaklumkan bahawa, pada 6 Oktober, satu notifikasi dari Hospital Gerik, Perak diterima mengenai dua kes keracunan makanan dengan satu kematian.

“Siasatan lanjut mendapati tujuh kes dari satu keluarga yang tinggal di rumah yang sama terlibat, dengan gejala demam, cirit birit, dan muntah. Mereka dilaporkan memakan laksa pada 4 Oktober pada 9.30 malam yang dibeli oleh bapa simati di sebuah gerai di Kupang, Baling, pada 4 Oktober 2018,” katanya di sini hari ini.

Katanya, pada 7 Oktober, dua kes lagi dimasukkan ke Hospital Gerik kerana gejala keracunan makanan setelah memakan laksa yang dibeli pada 4 Oktober di gerai yang sama.

“Satu daripada dua kes tersebut dirujuk ke Hospital Raja Permaisuri Bainun Ipoh untuk rawatan lanjut. Namun begitu, pesakit disahkan meninggal dunia pada 7 Oktober pukul 2.31 petang,” katanya.

Tambah beliau, 10 lagi pesakit yang mendapat simptom sama dirawat di Hospital Baling.

Tambah beliau, siasatan masih diteruskan oleh pihak Pejabat Kesihatan Daerah berkaitan di Jabatan Kesihatan Kedah dan Perak untuk mengenalpasti kes-kes yang mempunyai gejala Keracunan Makanan (KRM) dan terdedah kepada makanan yang sama.

“Kita ingin menasihatkan orang ramai yang mempunyai gejala KRM untuk segera mendapatkan rawatan di mana-mana fasiliti kesihatan berhampiran,” katanya.

Jelasnya, pihak Jabatan Kesihatan Negeri menjalankan pemeriksaan dan penutupan sementara premis yang terlibat untuk membantu siasatan bagi mengenalpasti punca berlakunya keracunan makanan itu. - UTUSAN ONLINE