Ketua Polis daerah, Superintenden Haslah Bachok berkata, kejadian pada pukul 7.50 pagi itu berlaku apabila lori tangki yang dalam perjalanan dari Seremban menghala ke Batu Kikir cuba mengelak sebuah kenderaan yang berpusing di hadapannya sebelum terbabas dan bertembung dengan kereta Proton Saga BLM dari arah bertentangan.

“Siasatan awal di tempat kejadian mendapati, Proton Saga itu dipercayai masuk ke laluan bertentangan lalu bertembung dengan lori tersebut hingga menyebabkan kenderaan berat itu hilang kawalan dan terbabas ke kanan jalan.

“Akibatnya lori tangki itu terjatuh ke cerun dan terbalik hingga mengakibatkan tumpahan minyak diesel di kawasan berkenaan,” katanya dalam satu kenya­taan di sini hari ini.

Mengulas lanjut Haslah berkata, pemandu lori tangki tersebut, M. Loganathan, 46, cedera pada lutut manakala pemandu Proton Saga yang juga kakitangan di Hospital Tuanku Ampuan Najihah di sini, Nur Azmi Azman, 30-an, cedera pada kepala.

Sementara itu, Pegawai Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Pilah, Pegawai Bomba Kanan II Mohd. Zakaria Ramli berkata, kemalangan tersebut mengakibatkan tumpahan serta kebocoran diesel yang telah mengalir ke sungai berhampiran.

“Berlaku sedikit tumpahan minyak diesel dan syarikat pemilik lori tangki tersebut turut ke lokasi kejadian untuk menyedut dan memindahkan bahan api itu ke lori tangki berasingan selain berusaha mengalihkan kenderaan yang terbalik itu.

“Dua mangsa yang cedera dihantar ke hospital oleh anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia untuk rawatan lanjut,” katanya.