Kenderaan tersebut ialah sebuah lori, dua buah kereta Toyota Camry, sebuah Mercedes Benz, sebuah Proton Iswara, sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux milik polis bantuan, sebuah trak penunda serta sebuah Perodua Myvi.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Anuar Omar berkata, nahas yang berlaku kira-kira pukul 3.35 pagi itu bagaimanapun tidak melibatkan sebarang kehilangan nyawa atau kerosakan terhadap harta benda kerajaan.

Kata Anuar, kemalangan itu berlaku apabila lori yang dalam perjalanan dari Georgetown menghala ke Perai secara tiba-tiba mengubah laluan iaitu daripada lorong tengah ke lorong kanan.

Beliau berkata, akibatnya sebuah Toyota Camry yang berada betul-betul di belakang lori itu gagal mengelak lalu merempuh bahagian belakang lori tersebut sebelum kereta berkenaan dilanggar pula oleh sebuah Proton Iswara.

"Apabila polis bantuan (menaiki Toyota Hilux) dan trak penunda tiba ke lokasi kejadian kira-kira 10 minit kemudian, sebuah Perodua Myvi yang datang secara tiba-tiba merempuh belakang kedua-dua kenderaan tersebut.

"Pelanggaran itu turut melibatkan dua kenderaan lain iaitu sebuah lagi Toyota Camry serta Mercedes Benz," katanya dalam satu kenyataan di sini.

Katanya, mangsa yang cedera dikenal pasti sebagai Lim Jiong Xue, 18 (pemandu Proton Iswara) dan Looi Jian Wah, 26 (pemandu Perodua Myvi) yang masing-masing berasal dari Bukit Mertajam dan Perai.

Ujar Anuar, tahap kecederaan mereka bagaimanapun tidak diketahui dan kes itu kini disiasat di bawah Peraturan 10, LN 166/59 (Kaedah-kaedah Lalu Lintas 1959). -UTUSAN ONLINE