Kejadian kira-kira pukul 6.30 petang itu disedari remaja perempuan berusia 19 tahun setelah mendengar jeritan api daripada jirannya sebelum bertindak menarik ibunya lari keluar untuk menyelamatkan diri.

Abang remaja itu, L. Kalai, 31, berkata, adiknya dan ibu mereka yang berusia 47 tahun sedang leka menonton televisyen tanpa menyedari bahagian tepi rumah telah terbakar.

Katanya, dia bersyukur ibu dan adiknya tidak mengalami sebarang kecederaan dalam kejadian itu cuma mereka masih berada dalam keadaan terperanjat.

"Mak masih lagi terkejut tapi kedua-duanya selamat dan tidak cedera. Hanya bahagian bumbung dan tepi rumah sahaja yang rosak.

"Dua rumah lain memang tiada keluarga yang duduk dan kami tidak pasti macam mana kebakaran berlaku," katanya ketika ditemui, hari ini.

Sementara itu, Ketua Zon 1 Perak, Mohd. Khairul Jamil berkata, empat jentera bersama 18 anggota termasuk Pasukan Bomba Sukarela Bercham ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan kira-kira pukul 6.38 petang.

"Semasa tiba di tempat kejadian, api sedang marak membakar ketiga-tiga rumah itu. Kebakaran dipercayai bermula di bahagian tengah sebelum merebak ke kiri dan kanan rumah bersebelahan.

"Pemeriksaan mendapati api cepat marak kerana terdapat longgokan sampah di dalam rumah namun punca sebenar kejadian ini masih dalam siasatan," katanya. - UTUSAN ONLINE