Kejadian pada pukul 12.15 tengah hari itu mengorbankan Lim Jhin Soon, 28, dan ba­panya, Lim Eng Hok, 74, yang dipercayai dalam perjalanan dari arah Senggarang menghala ke Jalan Kluang.

Ketika SUV jenis Nissan X-Trail ditarik ke tebing, mayat dua beranak tersebut masih berada di tempat duduk ma­sing-masing sebelum mereka disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan di tempat kejadian.

Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Abdul Wahib Musa berkata, SUV itu dipandu Jhin Soon, manakala ba­panya berada di tempat duduk penumpang hadapan ketika kejadian.

Menurutnya, berdasarkan siasatan awal, polis mendapati tayar belakang sebelah kiri kenderaan tersebut dipercayai tiba-tiba pecah sehingga mengakibatkan SUV itu terbabas lalu jatuh ke dalam parit di sebelah kiri jalan.

“Kedua-dua mangsa tinggal di Taman Banang, Batu Pahat dan polis masih melakukan siasatan untuk mendapatkan maklumat selanjutnya.

“Mayat dua beranak itu dibawa ke Unit Forensik Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) untuk bedah siasat bagi mengetahui punca kematian sama ada lemas atau akibat faktor lain,” katanya di sini hari ini.

Abdul Wahib memberitahu, tempat kejadian merupakan berhampiran kawasan kampung yang memiliki jalan lurus dua lorong dua hala termasuk garisan putus-putus di tengah jalan.

Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.