Dalam kejadian pukul 6.17 pagi itu, mangsa, Shamsor Kamar Jamberi, 43, dan anaknya, Nor Shahira, 14, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat parah di kepala.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor, Superintenden Azman Shariat berkata, kemalangan berlaku apabila Proton Waja dinaiki Shamsor bersama isteri dan dua anaknya melanggar sebuah kenderaan pacuan empat roda Isuzu Dmax dipandu seorang lelaki berusia 20 tahun.

Menurutnya, ketika kejadian, pemandu kenderaan pacuan empat roda berkenaan dalam perjalanan dari arah Sungai Choh ke pekan Rawang.

“Hasil siasatan mendapati kereta Proton Waja tersebut telah memasuki laluan bertentangannya. Pemandu kenderaan pacuan empat roda terbabit cuba mengelak namun gagal sehingga melanggar bahagian tepi kanan kereta berkenaan.

KEADAAN kereta yang remuk akibat kemalangan di Batu 29, Jalan Kuala Lumpur- Ipoh berhampiran Tanah P

KEADAAN kereta yang remuk akibat kemalangan di Batu 29, Jalan Kuala Lumpur- Ipoh berhampiran Tanah Perkuburan Islam Sungai Choh, Rawang, Selangor hari ini. - UTUSAN ONLINE

”Mayat kedua-dua mangsa kini dibawa ke Hospital Selayang untuk bedah siasat manakala dua lagi penumpang kereta terbabit sedang menerima rawatan di hospital sama,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Dalam pada itu, Shamsor memberitahu, siasatan lanjut berhubung kejadian itu sedang dijalankan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Tambahnya, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kemalangan itu diminta tampil di balai polis berhampiran untuk siasatan lanjut. - UTUSAN ONLINE