Ketua Polis Daerah Pontian, Superintenden Mustafa Bakri Salleh berkata, mangsa ialah Norasmah Ab. Karim, 37, dan anaknya, Muhammad Azqullah Azhar, 4.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati kemalangan pukul 10.10 malam itu dipercayai berlaku apabila kereta Proton Iswara yang dinaiki mangsa dalam perjalanan dari Pontian ke Serkat melanggar kenderaan pacuan empat roda yang gagal berhenti di simpang empat Pekan Telok Kerang.

“Norasmah dan anaknya, Muhammad Azqullah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan yang turut berada di tempat kejadian”, katanya di sini hari ini.

Mayat dua beranak itu dihantar ke Hospital Pontian untuk dibedah siasat.

Turut membantu operasi menyelamat ialah pasukan bomba dan penyelamat Pontian Baru yang diketuai oleh Pegawai Bomba Kanan, Mohd. Zamry Sukasih. - UTUSAN ONLINE