Jurucakap bomba berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada pukul 6.30 pagi.

Menurutnya, ketika anggota bomba tiba di tempat kejadian didapati kedua-dua mangsa dan motosikal mereka terjatuh ke dalam lubang longkang sedalam tiga meter.

Katanya, kejadian berlaku ketika lelaki berkenaan dalam perjalanan untuk menghantar anaknya bekerja.

“Mangsa seorang lelaki berusia lingkungan 50-an dan anaknya 30-an dalam keadaan ditindih oleh motosikal.

“Anggota bomba mengalihkan motosikal yang menimpa mangsa dan menaikkan mangsa menggunakan tali dan tangga,” katanya.

Menurutnya, mangsa mengalami kecederaan pada pinggang serta kaki dan diberikan rawatan awal sebelum dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut. - UTUSAN ONLINE