Kedua-dua kanak-kanak malang yang rentung dikenali sebagai Puteri Amanda Faizal, 8, serta adiknya, Puteri Marsila Faizal, 4.

Dalam kejadian kira-kira pukul 7.10 malam itu, seorang wanita dipercayai ibu saudara mang­sa dikenali sebagai Siti Nurul Asyikin Juplin, 21, melecur hampir 70 peratus manakala seorang lelaki yang juga pemandu lori, Hasim Pinando, 32 mengalami kecederaan.

Penguasa Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Zon Sandakan, Anddre Andrew berkata, lori enam tan yang membawa muatan tong gas dinaiki mangsa dikatakan hilang kawalan lalu terbabas ke gaung sebelum terbakar dan meletup.

Menurutnya, pihaknya mene­rima panggilan kecemasan mengenai insiden itu pada pukul 7.13 malam sebelum tiba 15 minit kemudian dengan kekuatan 10 pegawai serta anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Sandakan.

“Sebaik sahaja di tempat kejadian pasukan bomba segera menjalankan operasi pemadaman dan membantu mengeluarkan kedua-dua mangsa yang tersepit di dalam lori. Api berjaya dikawal pada pukul 7.54 malam,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Tambah Anddre, kesemua mang­sa dihantar ke Hospital Duchess of Kent (HDOK) Sandakan di sini untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner Azhar Hamin berkata, lori tersebut dalam perjalanan dari Kampung Pampang, Batu 10 menuju ke Batu 12 di sini.

Katanya, ketika menaiki bukit di lokasi kejadian, lori itu hilang kawalan hingga menyebabkannya terbabas lalu terjunam ke gaung dan meletup.

“Terdapat dua kanak-kanak perempuan ditemukan rentung manakala dua lagi dilaporkan selamat. Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujarnya.