Dalam kejadian kira-kira pukul 9.15 malam, Fithri Aziz Mohd. Ramli, 13 dan adiknya, Hamdan Syakirin ,11, yang menjadi pembonceng maut di tempat kejadian manakala abang mereka, Muhamad Hakimi, 25, cedera parah di kepala.

Muhamad Hakim yang merupakan seorang pelajar sebuah universiti di Mesir masih tidak sedarkan diri dan dirawat di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Ismail Mat Sidik berkata, ketiga-tiga beradik yang menaiki motosikal jenis Demak itu dikatakan dalam perjalanan ke sebuah kedai untuk membeli peralatan sekolah.

"Apabila tiba di lokasi kejadian, Muhammad Hakimi yang menjadi penunggang mahu melintas jalan dengan cara membuat pusingan U.

"Bagaimanapun sebuah kereta jenis Hyundai Atos dipandu seorang lelaki berusia 52 tahun datang dari arah bertentangan gagal mengelak dan melanggar motosikal tersebut," katanya, di sini hari ini.

Mayat dua mangsa yang masing-masing bersekolah di Sekolah Menengah Agama (SMA) Maarif dan Sekolah Kebangsaan (SK) Wakaf Stan dibawa ke HUSM untuk bedah siasat sebelum dituntut keluarga mereka, hari ini.

Menurut Ismail, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. - UTUSAN ONLINE