Ketua Polis Daerah Kulai, Superintenden Dzulkhairi Mukhtar berkata, kemalangan dipercayai berpunca apabila motosikal dinaiki Muhammad Zulfakar Zainal Abidin, 22, dan adiknya, Nurfatin Atikah, 19, terbabas dan melanggar pembahagi jalan.

Menurutnya, Muhammad Zulfakar tercampak ke dalam longkang di tengah pembahagi jalan manakala adiknya, Nurfatin Atikah tercampak ke atas jalan raya.

"Akibat kejadian tersebut, Nurfatin Afikah dirempuh sebuah kereta jenis Honda Civic yang gagal mengelak sebelum maut di tempat kejadian.

"Sementara itu, Muhammad Zulfakar maut ketika mendapatkan rawatan di Hospital Kulai," katanya menerusi satu kenyataan, di sini hari ini.

Sementara itu, pemandu kereta yang berusia 25 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan walaupun kereta turut terbabas dan melanggar pembahagi jalan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. - UTUSAN ONLINE