Dalam kejadian pada pukul 3.30 petang itu, pemandu kenderaan tersebut, Wong Hong Yie, 26, dan adiknya, Wong Hong Chuan, 19, cedera parah dan maut di tempat kejadian.

Kemalangan itu turut mengakibatkan adik lelaki Hong Yie, Wong Hong Yau, 22, dan bapa saudara mereka, Lim Khem Guan, 42, masing-masing cedera di kaki dan kepala.

Ketua Polis Daerah, Superintenden Ismail Che Isa berkata, siasatan awal di tempat kejadian mendapati kereta dipandu mangsa dalam perjalanan dari arah Gerik menghala ke Kupang.

Katanya, kenderaan yang dipercayai dipandu laju itu hilang kawalan dan masuk ke laluan bertentangan sebelum melanggar bahagian hadapan sebelah kanan lori yang datang dari arah Kupang ke Gerik.

“Akibat pelanggaran itu, pemandu dan penumpang belakang kereta jenis Honda Accord itu maut di tempat kejadian manakala dua lelaki lain yang menaiki kenderaan sama cedera parah.

“Pemandu lori berusia 47 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan. Mayat kedua-dua mangsa dibawa ke Hospital Gerik untuk bedah siasat manakala mangsa yang cedera dihantar ke hospital sama untuk rawatan lanjut,” katanya.-UTUSAN ONLINE