Menurut bapa mangsa, Md. Nasir. Jamaluddin, 55, anaknya, Ainnur Batrisyah Md. Nasir, 10, dan Mohammad Solehudin, 6, tergesa-gesa pergi ke kolam tersebut selepas menunaikan solat Asar.

Ujarnya, kebiasaannya mereka akan berdoa selepas solat bersama ibu, Suhaini Nasuha, 37, namun hari ini mereka tidak berbuat demikian sebaliknya terus keluar untuk memancing ikan.

“Ketika mahu ke kolam itu mereka sempat meminta izin daripada saya yang berada di beranda rumah. Mereka kata nak tangkap ikan kerana pagi tadi ibu mereka berjaya tangkap ikan di kolam itu.

“Saya tak sangka itu adalah kata-kata terakhir mereka kepada saya,” katanya ketika ditemui di Hospital Jempol di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 6 petang itu, dua beradik terbabit ditemukan lemas selepas dipercayai terjatuh ke dalam sebuah kolam ikan sedalam 1.8 meter yang terletak kira-kira 60 meter dari rumah mereka.

Menurut Md. Nasir, dia berasa tidak sedap hati kerana anak-anaknya masih belum pulang selepas satu jam lalu dia pergi ke kolam tersebut.

“Saya ternampak selipar mereka dan saya membuat keputusan masuk ke dalam kolam namun terpijak sesuatu. Disebabkan air agak dalam saya naik semula dan meminta isteri menghubungi pihak bomba,” katanya.

Selain kedua-dua mangsa, pasangan itu turut mempunyai anak lelaki sulung berusia 13 tahun.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri, Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima panggilan pada pukul 6.03 petang dan 10 anggota serta pegawai bergegas dengan sebuah jentera ke lokasi kejadian.

“Mangsa pertama seorang kanak-kanak perempuan dibawa naik anggota bomba pada pukul 6.20 petang manakala seorang budak lelaki dibawa naik lima minit kemudian.

“Kedua-keduanya disahkan meninggal dunia oleh pihak hospital pada pukul 7.10 petang. Mayat kedua-dua mangsa dibawa ke Hospital Jempol untuk dibedah siasat,” katanya.