Dalam kejadian kira-kira pukul 2.55 petang itu, mangsa, Sarjan Mejar Abdul Hakim Samingan, 54, dan Koperal Suresh a/l Itchang,36, yang bertugas di Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT), Ibu Pejabat Polis Daerah Dungun meninggal dunia di tempat kejadian.

Semasa kejadian, ke­dua-dua mangsa menyertai Konvoi La­tihan Dalam Perkhid­matan bersama tujuh pegawai dan 18 anggota trafik dengan menunggang jarak jauh dari Mersing Johor menuju Kuala Terengganu.

Apabila sampai di Kilometer 139, sebuah lori yang hilang kawalan secara tiba-tiba telah mema­suki laluan konvoi dan merempuh dua motosikal jenis CBX 750 yang ditunggang oleh mereka.

Ketua Polis daerah, Superintenden Mohd Said Ibrahim berkata, kesemua anggota konvoi bertugas di BSPT Dungun itu dalam perjalanan pulang.

Katanya, mayat Abdul Hakim dan Suresh Itchang telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Kemaman di sini untuk dibedah siasat.

“Kita menahan pemandu dan kelindan lori terbabit untuk siasatan lanjut serta melakukan ujian saringan air kencing.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan membahayakan sehingga menyebabkan kematian,” katanya.

Sementara itu, isteri Suresh, Winney Suley Buan, 33, berkata, suaminya menghadiri latihan dalam perkhidmatan tersebut di Mersing sejak Selasa lalu.

Katanya, kali terakhir suaminya menghubungi beliau kira-kira sejam sebelum kemalangan sewaktu konvoi disertainya berhenti makan tengah hari di Su­ngai Ular, Kuantan, Pahang pada pukul 1.54 petang.