Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kamunting, Mohd. Taufik Abd. Sattar berkata, kejadian pada pukul 3.15 petang itu berpunca daripada treler muatan buah kelapa sawit hilang kawalan kerana salah satu tayarnya pecah.

Menurutnya, ekoran kejadian itu, treler yang dipandu di lorong kiri oleh lelaki berusia 54 tahun gagal dikawal lalu menghimpit kereta mangsa yang berada di lorong kanan.

Katanya, bagaimanapun, kedua-dua anggota polis yang dipercayai berpangkat koperal dan inspektor itu berjaya keluar daripada kenderaan tanpa sebarang kecederaan.

"Semasa anggota bomba tiba di lokasi kejadian, kedua-dua mangsa didapati sedang keluar sendiri daripada kenderaan itu.

"Kedua-dua mangsa dan pemandu treler tidak cedera. Anggota bomba segera membuat pemeriksaan dan kerja-kerja penyelamatan di lokasi kejadian," katanya di sini hari ini. - UTUSAN ONLINE