NOR SHAHIRA
NOR SHAHIRA 

Dalam kejadian pukul 6.17 pagi itu, mangsa, Shamsor Kamar Jamberi, 43, dan anaknya, Nor Shahira, 14, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di kepala.

Difahamkan, ketika kejadian, empat sekeluarga itu dalam perjalanan pulang ke kediaman mereka di Bukit Beruntung dekat sini selepas singgah membeli barangan basah di Pasar Borong Selayang.

Lebih menyayat hati, Shamsor Kamar sempat memuat naik ke Facebook gambar isteri dan anaknya sedang membeli ketam.

SHAMSOR KAMAR
SHAMSOR KAMAR 

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor, Superintenden Azman Shariat berkata, kemalangan berlaku apabila Proton Waja dinaiki keempat-empat mangsa melanggar sebuah kenderaan pacuan empat roda Isuzu Dmax dipandu seorang lelaki berusia 20 tahun.

Menurutnya, ketika kejadian, pemandu kenderaan pacuan empat roda berkenaan dalam perjalanan dari arah Sungai Choh ke pekan Rawang.

“Keterangan awal pemandu Isuzu Dmax itu memaklumkan kereta Proton Waja memasuki laluan bertentangannya. Pemandu Isuzu Dmax terbabit cuba mengelak namun gagal sehingga melanggar bahagian tepi kanan kereta berkenaan.

“Mayat kedua-dua mang­sa kini dibawa ke Hospital Se­la­yang untuk bedah siasat manakala dua lagi penumpang kereta terbabit sedang menerima rawatan di hospital sama,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambah Shamsor, siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Peng­angkutan Jalan 1987 dan orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kemalangan itu diminta tampil di balai polis berhampiran.