Wong Wei Keong, 35, ditemukan dalam keadaan lemah dan kelaparan di atas bukit di kawasan kebun getah itu oleh pasukan mencari dan menyelamat selepas dilaporkan hilang sejak pukul 8.10 pagi kelmarin.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Gua Musang, Pegawai Bomba Kanan II Mohd. Zawawi Yusoff berkata pihaknya menerima laporan kehilangan lelaki itu daripada rakan sekerja mangsa.

Katanya, pasukan mencari itu membabitkan polis, bomba dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) yang menjalankan pencarian di sekitar kawasan hutan tidak jauh dari lokasi mangsa hilang.

“Pasukan mencari telah menjumpai mangsa yang sedang mencari jalan keluar selepas melakukan operasi selama empat jam. Mangsa dijumpai dalam keadaan lemah di atas bukit yang dikelilingi pokok getah.

“Mangsa yang lemah telah dipapah dan diberi minuman sebelum anggota paramedik memeriksa keadaan kesihatan mangsa,” katanya di sini hari ini.

Tambahnya, maklumat awal mendapati mangsa telah sesat selepas keluar bekerja berseorangan untuk membaiki paip kongsi getahnya dan hilang di hutan berkenaan.

ementara itu, Ketua Polis Daerah, Superintendan Mohd. Taufik Maidin yang dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan. - UTUSAN ONLINE