Demikian ujar Izzah Abu Bakar, 48, ibu kepada salah seorang mangsa gempa bumi Gunung Kinabalu, Muhammad Loqman Abdul Karim, 22.

Katanya, beliau berharap segala amal kebajikan dan kerja sukarelawan yang dilakukan sepanjang hayatnya itu akan memberi kebaikan kepadanya.

Biarpun sukar baginya untuk menahan rasa sebak atas kehilangan anak sulungnya itu, dia bagaimanapun reda dengan kejadian malang yang menimpa Muhammad Loqman yang maut semasa mendaki Gunung Kinabalu, Jumaat lalu.

“Loqman juga sangat disenangi kawan-kawannya tidak kira kaum kerana sifatnya yang suka membantu.

“Dia juga memberi khidmat tuisyen percuma kepada anak-anak yatim dan kanak-kanak miskin sekitar Kuala Lumpur tanpa mengharapkan balasan,” ujar Izzah yang juga pensyarah di Institut Perguruan Perempuan Melayu Melaka selepas majlis pengebumian Muhammad Loqman di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kampung Chin Chin, di sini hari ini.

Terdahulu, jenazah tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka (LTAM), Batu Berendam, kira-kira pukul 11.50 malam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu, Sabah pada 8.45 malam tadi.

Jenazah diiringi ibu dan bapanya, Abdul Karim Mohd. Yazam, 52, dibawa menggunakan pesawat C-130 Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) disambut hampir 100 ahli keluarga serta kenalan berbilang kaum termasuk dari Kuala Lumpur.

Jenazah Muhammad Loqman kemudian dibawa menaiki van ke kediaman datuknya di Jasin sebelum dikebumikan kira-kira pukul 2.30 pagi.

Sementara itu jelas Izzah, kali terakhir dia bertemu anaknya itu ialah pada 28 Mei lalu di rumah mereka di sini sebelum mangsa ke Sabah untuk menyertai ekspedisi mendaki Gunung Kinabalu.

Katanya, Muhammad Loqman memang meminati aktiviti mendaki gunung dah telah merancang mendaki Gunung Kinabalu sejak tahun lalu lagi.

“Memang itu minat dia dan ini adalah kali pertama dia panjat Gunung Kinabalu tapi dia sering mendaki gunung lain di Semenanjung malah dia pernah menghabiskan masa selama sembilan hari mendaki tiga gunung di Pantai Timur pada Tahun Baharu Cina yang lalu,” katanya.

Tambah beliau, dia bersama suami dan dua lagi anaknya berada di Kemboja semasa dimaklumkan mengenai kejadian gempa bumi di Sabah Jumaat lalu.

“Saya agak bimbang pada masa itu memandangkan Lokman berada di Sabah namun merasakan dia selamat tetapi sebaliknya Allah telah memilih dia,” katanya.

Muhammad Loqman yang me­rupakan salah seorang mangsa gempa bumi di Gunung Kinabalu Jumaat lalu merupakan penuntut tahun tiga Institut Perguruan Bahasa Antarabangsa Kuala Lumpur.