Dalam kejadian kira-kira pukul 8.30 malam itu, S. Krishnan, 64, dan cucu lelakinya, S. Ugeendrann, 11, maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah yang dialami.

Timbalan Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Superintenden Yahaya Hasan berkata, ketika kejadian kedua-dua mangsa sedang melintas jalan selepas membeli makanan di sebuah kedai terletak di seberang jalan.

“Ketika kejadian, 4WD jenis Toyota Hilux dari arah Kampung Gajah menghala ke Changkat Jong melanggar kedua-dua mangsa yang sedang berjalan kaki melintas jalan. Akibat rempuhan itu kedua-dua mangsa meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya.

Menurut beliau, mayat mangsa telah dihantar ke Unit Forensik, Hospital Teluk Intan (HTI) untuk di bedah siasat.

Yahaya berkata, pemandu Toyota Hilux berkenaan ditahan untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. - UTUSAN ONLINE