Dalam kejadian 4.30 petang semalam, mangsa Wan Husin Wan Abdullah, 62, bersama Wan Zaidi Wan Hussin, 57, dalam perjalanan pulang ke darat selepas selesai menangkap udang, sotong dan ikan.

Difahamkan, sebaik sahaja tiba di Muara Kuala Besar, bot mereka terbalik akibat dipukul ombak dan dua sahabat itu terpaksa berpaut pada kepala bot namun mangsa tenggelam dan hilang beberapa jam selepas itu.

Cemas memikirkan nasib mangsa, rakannya Wan Zaidi nekad berenang ke daratan yang terletak kira-kira dua kilometer bagi meminta bantuan orang ramai.

Ketika ditemui pemberita hari ini, Wan Zaidi memberitahu, mereka berdua berpaut pada kepala bot selama tiga jam dalam keadaan letih, lapar dan kesejukan berikutan hujan lebat.

"Saya kemudian berenang selama satu jam menghala ke daratan sebelum ditemukan pengsan oleh penduduk," katanya.

Sementara itu, Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Zon Kota Bharu, Syobirin Abd. Kadir memberitahu, gerakan mencari dan menyelamat sedang giat dilakukan pihaknya dengan bantuan penduduk bagi mengesan mangsa. - UTUSAN ONLINE