Anggota Bomba dan Penyelamat membantu mengeluarkan mangsa yang terjatuh ke dalam parit di hadapan se
ANGGOTA Bomba dan Penyelamat membantu mengeluarkan mangsa yang terjatuh ke dalam parit di hadapan sebuah stesen minyak di Jalan Miri-Pujut, Miri, Sarawak, semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 7 pagi itu, mangsa yang berusia 60-an dipercayai terjatuh ekoran tidak perasan jeriji penutup longkang tersebut hilang dipercayai dicuri mereka yang tidak bertanggungjawab.

Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Zon Miri, Law Poh Kiong berkata, Balai Bomba dan Penyelamat Mito menerima maklumat kejadian tersebut pada pukul 7.10 pagi sebelum menghantar anggota ke lokasi kejadian.

Menurut Poh Kiong, lima anggota diketuai Pegawai Bomba Kanan II, Abang Mohd. Fazil bersama dua anggota Unit Kecemasan Perkhidmatan Penyelamat Perubatan (EMRS) yang tiba kira-kira 7.16 pagi berusaha menenangkan dan menstabilkan keadaan mangsa yang dalam keadaan kesakitan.

“Anggota bomba terpaksa ma­suk ke dalam longkang yang sempit untuk membawa keluar mang­sa menggunakan pengusung.

“Mangsa kemudian diserahkan kepada kakitangan ambulans untuk dibawa ke hospital bagi mendapatkan rawatan lanjut,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Kata Poh Kiong, operasi khidmat khas itu kemudian ditamatkan pada pukul 7.57 pagi setelah pihaknya membuat halangan di lubang berkenaan bagi mengelak kejadian sama berulang.

Tambahnya, Lubang berkenaan juga dimaklumkan telah ditutup oleh pihak Jabatan Kerja Raya (JKR).