Katanya, dia berada di kawasan sungai ini sejak semalam untuk mencari rakannya itu yang dipercayai kali terakhir berada di lokasi sabung ayam yang diserbu polis, Jumaat lalu.

Rakannya itu merupakan mangsa lemas ketiga yang ditemukan di dalam sungai itu dan dipercayai turut melarikan diri semasa serbuan pihak polis ketika kegiatan perjudian itu berlangsung.

"Saya tinggal sekampung dengannya dan pagi semalam ahli keluarganya datang berjumpa saya memita membuat pemantauan di sungai itu kerana bimbangkan keselamatannya.

"Sejak itu saya menghabiskan masa membuat tinjauan sekitar sungai ini dalam usaha menjejakinya kerana hasil makluman daripada rakan lain mengatakan dia terjun ke sungai dalam usahanya melarikan dari dari ditahan dalam serbuan itu," katanya.

Kata Ismail, lebih kurang pukul 9 pagi tadi semasa dia berada di tepi sungai ini bersama beberapa rakan, mereka ternampak satu mayat terapung di tebing sungai.

"Saya kemudian menghubungi Balai Polis Kuala Ketil memaklumkan penemuan itu.

"Beberapa minit kemudian kami melihat dua lagi mayat timbul di permukaan air yang berjarak lebih kurang 50 meter antara satu sama lain sebelum kesemua mayat itu diangkat naik oleh
anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat," katanya.

Lima mayat lelaki ditemukan di Sungai Muda itu dipercayai kaki judi sabung ayam yang melarikan diri daripada serbuan polis di kebun kelapa sawit Kampung Tanah Licin Kuala Ketil dekat sini Jumaat lepas.

Sebanyak 76 lelaki diberkas dalam operasi berkenaan.