Dalam kejadian pukul 5 petang itu, seorang pekerja warga asing sedang melakukan kerja-kerja pembinaan sebelum sebahagian struktur di tingkat tiga tiba-tiba runtuh ke tingkat satu.

Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, Khirudin Drahman berkata, runtuhan itu menyebabkan struktur binaan di tingkat dua juga runtuh ke tingkat satu.

“Sejurus menerima panggilan kecemasan melibatkan bangunan pencawang TNB Cheras yang dalam binaan, sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Pudu dan Hang Tuah dikejarkan ke lokasi kejadian.

“Setakat ini kerja mencari dan penyelamat sedang dilakukan oleh pasukan yang terlibat bagi mengesan mangsa yang tertimbus,” katanya. - UTUSAN ONLINE