Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Saifi Abd Hamid berkata, kejadian berlaku kira-kira  pukul 1.55 petang ketika mangsa Hafidh Dhabit Hasrul Nizam bersama keluarganya berkunjung ke pusat rekreasi berkenaan.

Katanya, keluarga berkenaan ke taman tema itu  sempena penganjuran Hari Keluarga Perancang Bandar & Desa Zon Utara yang melibatkan ibunya yang bertugas dengan jabatan itu.

"Difahamkan mangsa mandi bersama empat lagi adik-beradiknya di kolam  sedalam  satu meter.

"Bapa mangsa seorang peniaga, Hasrul Nizam Che Hassan,  50-an dipercayai meninggalkan anaknya untuk membeli makanan di dalam kawasan taman  berkenaan," katanya di sini hari ini.

Menurut Saifi, mangsa diketahui lemas sebaik bapanya masuk semula ke kawasan kolam di situ dan mendapati sepasukan petugas taman tema berkenaan  cuba memberi bantuan pernafasan kepada anaknya.

"Mangsa kemudiannya disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Sultan Abdul Halim dekat sini.

"Bedah siasat yang dijalankan mendapati kanak-kanak mati akibat lemas," katanya.

Saifi berkata, kes dikelasifikasikan sebagai mati mengejut.

Mayat mangsa dibawa balik ke Kampung Meribut, Mukim Pering, Kodiang, untuk dikebumikan malam ini.-UTUSAN ONLINE