Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Gemas, Syed Ammar Syed Abbas berkata, saksi di lokasi kejadian memberitahu, mangsa, Muhammad Amjad Asyraf Nor Aza bersama empat rakannya pergi ke sungai untuk menjala ikan pada pukul 4 petang.

"Bagaimanapun, semasa mangsa meninjau lokasi tersebut dia tergelincir dan terjatuh ke dalam sungai sebelum dibawa arus deras.

"Empat rakannya kemudian meminta bantuan penduduk namun mereka gagal menyelamatkan mangsa. Penduduk kemudian menghubungi bomba memaklumkan kejadian pada pukul 4.23 petang," katanya di sini.

Syed Ammar memaklumkan, lapan anggota bergegas ke lokasi kejadian bersama sebuah jentera dan tiba 10 minit kemudian.

"Mangsa ditemukan lima meter di dasar sungai dan kira-kira 100 meter dari tempat dia terjatuh. Mangsa dihantar ke Klinik Kesihatan Gemas namun disahkan telah meninggal dunia," ujarnya. - UTUSAN ONLINE