Dalam kejadian pukul 7.30 pagi ini, kanak-kanak yang hanya dikenali sebagai Mohd. Nasir ditemukan di sebuah rumah kongsi kosong di bekas lombong bijih besi di kawasan itu kira-kira pukul 4.30 petang oleh anggota penyelamat.

Ketika kejadian kedua ibu bapa mangsa  dikatakan pulang ke Thailand dan dia tinggal bersama saudaranya.

Difahamkan saudara kanak-kanak itu telah menyedari kehilangannya dan meminta bantuan orang kampung untuk membuat laporan polis.

Ketua Polis daerah, Superintenden Mohd. Taufik Maidin berkata, pihaknya menerima laporan kehilangan budak lelaki itu pada pukul 8 pagi.

Katanya, pasukan mencari dan menyelamat membabitkan lima anggota polis, tiga anggota bomba dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) yang melancarkan operasinya pukul 11.30 pagi.

"Kita melakukan gerakan pencarian itu membabitkan sekitar kawasan hutan Felda Aring 5.

"Mangsa dalam keadaan lemah dijumpai di sebuah rumah kongsi kosong bekas lombong bijih besi sebelum di bawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Gua Musang," katanya di sini malam ini.

Mohd. Taufik berkata, mengikut siasatan pihaknya, budak lelaki itu sesat kerana tidak tahu hendak balik ke rumah selepas keluar berseorangan sebelum hilang di hutan berkenaan.

Kebanyakan kawasan ladang getah dan sawit di kawasan pedalaman negeri ini menggunakan tenaga buruh dari Thailand. - UTUSAN ONLINE