Kejadian berlaku kira-kira pukul 10 pagi sewaktu kanak-kanak itu bermain di depan rumah sebelum dia bertindak memanjat dan memasukkan kepalanya pada pintu jeriji berkenaan.

Ibu mangsa berusia lingkungan 40-an yang panik selepas mendapati kepala anaknya itu tersepit segera menghubungi bomba dan penyelamat untuk meminta bantuan.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Bukit Katil, Penguasa Kanan Bomba II Abd. Rahim Ismail berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 10.17 pagi dan enam anggota termasuk pegawai bergegas ke lokasi kejadian.

Beliau berkata, sebaik sahaja tiba di rumah tersebut, terdapat seorang kanak-kanak berada pada pintu jeriji kerana kepalanya tidak dapat dikeluarkan dari lubang pintu besi berkenaan.

“Pihak bomba mengambil masa kira-kira 14 minit untuk mengeluarkan kepalanya dengan memotong pintu berkenaan menggunakan pemotong besi.

“Ketika kerja menyelamat dilakukan, kanak-kanak berkenaan memberi kerjasama sambil ditenangkan oleh ibunya,” katanya. - UTUSAN ONLINE