Khaleef Eusoff Raafiee
Khaleef Eusoff Raafiee

Khaleef Eusoff Raafiee, 2, disahkan meninggal dunia pada pukul 8 pagi semalam ketika mendapat rawatan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini akibat kandungan toksin tinggi dalam darah yang menyebabkan kegagalan sistem organ dalaman lain berfungsi.

Bapa kanak-kanak berkenaan, Raafiee Abd. Rahim, 39, berkata, anak bongsu dari dua beradik itu menunjukkan perubahan sikap sejak seminggu lalu sama ada ketika berada di rumah atau di taman asuhan kanak-kanak.

“Saya menganggapnya perkara biasa bagi seorang kanak-kanak yang sedang membesar namun tidak menyangka kejadian seperti ini menimpanya.

“Kehilangannya secara me­ngejut memberi kesan kepada kami sekeluarga tetapi saya reda atas pemergiannya dan berharap orang ramai tidak menjadikan kejadian ini sebagai motif untuk membangkitkan isu-isu lain,” katanya ketika ditemui di rumahnya di kampung berkenaan hari ini.

Menceritakan kembali kejadian kira-kira pukul 5 petang tersebut, Raafiee berkata, dia sedang berkebun di tepi rumahnya manakala Khaleef Eusoff bermain tidak jauh dengannya sebelum menghampiri kawasan sarang tebuan berkenaan.

Katanya, dia hanya menyedari Khaleef Eusoff disengat puluhan ekor tebuan setelah mende­ngar jeritannya dan terus menarik serta membuang serangga berbisa itu daripada badan anaknya sebelum membawanya ke Pusat Perubatan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, di sini untuk rawatan.

“Khaleef Eusoff kemudian dibawa ke HTTA berikutan ke­­a­da­­­annya yang serius. Dia tidak berhenti menangis dan kea­daannya menjadi kritikal tengah malam semalam sebelum meninggal dunia pagi semalam,” katanya yang turut disengat lebih 20 ekor tebuan dalam kejadian tersebut.

Menurut Raafiee yang merupakan kakitangan Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) berkata, anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) telah memusnahkan sarang tebuan berkenaan yang terletak kira-kira 10 meter dari luar kawasan rumahnya kira-kira pukul 1 pagi ini.

Katanya, jenazah Khaleef Eusoff dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Padang kira-kira pukul 2.30 petang semalam.