Namun perbuatan itu mengun­dang padah apabila mangsa, Nurul Batrisya Nasrul Hadi maut digilis sebuah lori dipandu oleh bapa saudaranya dalam kejadian kira-kira pukul 10.30 pagi hari ini.

Ketika kejadian, Nurul Batrisya sedang makan di ruang dapur bersama datuk saudaranya, Yakob Saad, 65, dan ibunya, Shakira Bakar, 33.

Menurut Yakob, apabila Nurul Batrisya terdengar bunyi sebuah jentera padi tidak jauh dari situ dia bertindak berlari keluar rumah.

“Dia terus melintas bahagian hadapan lori padi muatan 2.5 tan yang baru hendak bergerak dan sedang membelok sebelum digilis.

“Bapa saudaranya itu memberhentikan lori dipandunya itu setelah merasakan terlanggar 'sesuatu' dan terkejut mendapati Nurul Batrisya terbaring berlumuran darah,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini hari ini.

Tambah Yakob, bapa saudara Nurul Batrisya yang berusia 40-an ke rumah berkenaan kerana menghantar anaknya untuk dijaga neneknya di situ.

Dalam pada itu, Shakira ketika ditemui di Bilik Mayat Hospital Tuanku Fauziah (HTF) di sini, berkata, Nurul Batrisya menunjukkan perbezaan tingkah lakunya apabila enggan melepaskan bapanya keluar bekerja ke Jitra, Kedah, pagi ini.

“Saya tidak menyangka itu tandanya dia hendak 'pergi' kerana pada masa tersebut memang anak saya sudah demam sejak seminggu lalu,” ujarnya.

Ketua Polis daerah, Superintenden Wari Kiew ketika dihubungi mengesahkan kejadian tetapi enggan mengulas lanjut.