Nurnasibah Husna Ibrahim
Nurnasibah Husna Ibrahim

Kejadian kira-kira pukul 12.20 tengah hari itu menyebabkan Nurnasibah Husna Ibrahim, 21, yang juga Naib Presiden Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Malaysia Sabah (UMS) mati di tempat kejadian.

Bagaimanapun ke­se­mua mahasiswa ter­sebut dan Presiden Himpunan Mahasiswa Kelantan (Himsak), Da­tuk Mohd. Faizal Daud yang berada di atas bot itu terselamat namun empat daripada mereka masih dirawat di wad Hospital Besut.

Mahasiswa terbabit merupakan sebahagian daripada 60 pelajar universiti dari seluruh negara yang mengikuti program anjuran Himsak bermula pada Jumaat lalu di Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Pengkalan Chepa.

Ketua Polis daerah, Superintenden Mohd. Zamri Mohd. Rowi berkata, bot tersebut berlepas dari Pulau Perhentian pada pukul 11.30 pagi bagaimanapun ketika tiba di tempat kejadian enjinnya mengalami kerosakan sehingga menyebabkannya berputar dan terbalik.

“Insiden itu kemudiannya menyebabkan kesemua penumpang termasuk mereka terjatuh ke dalam laut manakala mangsa meninggal dunia akibat lemas selepas terpe­rangkap di dalam bot yang terbalik.

“Lima pelajar lain mengalami kecederaan manakala selebihnya terselamat tanpa sebarang kece­deraan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Difahamkan kesemua mangsa memakai jaket keselamatan dan pemandu bot itu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Sementara itu, peserta yang terselamat, Nor Atirah Che Hassan, 20, dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) kampus Kelantan berkata, dia tenggelam di bawah bot yang terbalik tetapi sempat diselamatkan.

“Kami gagal berpaut pada mana-mana bahagian kerana terlangkup dan terperangkap di bawah bot. Syu­kur kerana terselamat walaupun cedera kerana terhentak di pinggang dan kepala,” katanya yang kini dirawat di wad hospital itu.

Dalam pada itu, ibu mangsa, Rosnani Abdullah, 46, berkata, anak sulung dari empat beradik itu adalah pelajar semester kedua dan telah memaklumkan mengenai program itu kepadanya minggu lepas menerusi aplikasi WhatsApp.

“Pesanan terakhir arwah menerusi mesej bertulis, meminta saya tidak menjemputnya pulang setibanya di jeti Kuala Besut hari ini kerana meminta sepupunya, Hazwan Mustafa, 24, mengambilnya di UMK untuk menghabiskan cuti semeter di rumah neneknya di Binjai, Kota Bharu bagaimanapun tidak kesampaian,” ujarnya.

Jenazah mangsa dituntut ahli keluarga pada pukul 6 petang sebelum dibawa pulang ke kampung datuknya di Kampung Banir Belikong, Selising, Pasir Puteh untuk urusan pengebumian.