Letupan tersebut menyebabkan dua awak-awak bot maut manakala tiga lagi termasuk seorang kanak-kanak melecur teruk akibat terbakar.

Mangsa yang maut adalah Jafar Janidil, 61; dan Sahlan Ashadan, 27; manakala mereka yang cedera ialah dua anak Jafar iaitu Mohd. Kamaruddin,26, dan Mohd. Nasaruddin, 10, serta Azmain Nawali, 45.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Wilayah Sabah dan Labuan, Laksamana Muda Mohd. Zubil Mat Som berkata, ketika kejadian, bot tersebut bersauh di Kampung Padang bagi memindahkan bahan api yang diangkut ke kampung berkenaan.

Katanya, kesemua mangsa merupakan warga tempatan dan mangsa yang cedera telah dihantar ke Hospital Kudat untuk menerima rawatan.

"Semasa kejadian bot berkenaan baru sampai dari Kudat ke Pulau Banggi untuk memindahkan petrol bagi kegunaan penduduk di situ.

"Ketika proses pemindahan, berlaku letupan menyebabkan ada mangsa yang maut manakala tiga lagi melecur teruk," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Katanya, Maritim Malaysia yang menerima panggilan kecemasan pada pukul 7.03 petang dan telah menghantar dua buah bot bersama anggota untuk menyelamatkan kesemua mangsa.-UTUSAN ONLINE