Meskipun dalam keadaan cuaca tidak begitu baik, unit udara bomba dapat menjalankan tugas dengan pantas dan berhati-hati memastikan keselamatan dan kelancaran penerbangan.

Difahamkan dalam perjalanan helikopter terpaksa meredahi hujan di Bintulu, Mukah, Triso dan Simunjan malah perlu terbang di bawah paras 305 meter berikutan awan rendah.

Pesakit wanita berusia 47 tahun itu dari Hospital Miri perlu dihantar dengan segera ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk menjalani pembedahan otak.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri, Nor Hisham Mohammad berkata, pihaknya menerima permohonan bantuan tersebut dari pihak hospital berikutan keadaan pesakit yang perlu menjalani pembedahan dengan kadar segera.

"Helikopter yang digunakan pihak hospital difahamkan tidak dapat terbang berikutan cuaca buruk.

"Justeru itu, kita menjalankan penerbangan ihsan menggunakan helikopter bomba jenis Mi-17 yang berpangkalan di Miri untuk membawa mangsa dan suaminya ke HUS yang selamat tiba di sini pada pukul 6.40 petang," katanya ketika dihubungi, hari ini. - UTUSAN ONLINE