Komender Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Kubu, Penguasa Bomba Kanan II Razali Che Are berkata, pihaknya bergegas ke lokasi kira-kira pukul 11.11 pagi sebaik sahaja menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian tersebut.

“Sebaik tiba, didapati seorang lelaki warga Indonesia berusia lingkungan 30-an cuba membunuh diri pada jarak dua kilometer dari pesisir perairan Selat Melaka berdekatan Taman Kota Laksamana.

“Dia ditemui dalam keadaan terapung dan sedang dipujuk oleh seorang nelayan yang mengekorinya sebelum berjaya dibawa ke darat oleh pasukan bomba,” katanya di sini hari ini.

Razali memberitahu, motif kejadian masih belum disiasat namun lelaki itu didapati tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah.

Warga asing itu kemudian dibawa ke Hospital Melaka untuk pemeriksaan kesihatan. - UTUSAN ONLINE