Keberanian Mohd. Jepliey Ambasing, 23, dan Wan Hazizi Abd. Halim, 33, dari Balai Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Pilah, berjaya menyelamatkan Rosmah Baharin, 37, dan Sofiyyah Siswadi, 43, yang menaiki kereta Nissan Sentra.

Kejadian berlaku di Jalan Seremban-Kuala Pilah berhampiran Kampung Sawah Liat dekat Ulu Bendul di sini pada kira-kira pukul 4.30 pagi ketika sepasukan pegawai dan anggota bomba sedang melakukan kerja-kerja menyelamat mangsa banjir kilat di dua buah rumah di lokasi berhampiran.

Mohd. Jepliey berkata, dia bersama tiga anggota lain ternampak kereta dinaiki mangsa sedang dihanyutkan arus deras sehingga masuk ke dalam parit.

“Mujur kereta itu tersekat pada sebatang pokok dalam kea­daan senget ke kiri sehingga menenggelamkan separuh kereta. Memikirkan nyawa mangsa da­lam bahaya, saya bersama rakan, Wan Hazizi terjun ke dalam parit sedalam kira-kira lima meter bagi menyelamatkan kedua-dua wa­nita berkenaan.

“Dalam keadaan gelap itu, saya mengeluarkan pemandu kereta terlebih dahulu sebelum dapat menarik tangan seorang lagi mang­sa yang hampir lemas menerusi pintu bahagian pemandu,” katanya di sini hari ini.

Menurutnya, mereka kemudian dihantar ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN) di sini untuk rawatan lanjut.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Pilah, Jafri Amat berkata, beliau difahamkan kedua-dua mangsa dirawat sebagai pesakit luar dan telah dibenarkan pulang ke rumah masing-masing walaupun masih trauma dengan kejadian itu.

“Saya telah menemui kedua-dua mangsa yang mengucapkan terima kasih kepada kami kerana tiba tepat pada masanya untuk menyelamatkan mereka.

‘‘Situasi ketika itu amat gen­ting kerana mereka tidak dapat melepaskan diri dari kenderaan yang sedang dipenuhi air,” ujarnya.

Beliau memberitahu, seba­nyak 13 buah rumah terlibat dalam banjir kilat itu dengan tiga buah kereta telah dihanyutkan air tetapi tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Tambahnya, pasukan bomba berjaya menyelamatkan lapan mangsa dari dua buah keluarga yang terperangkap dalam kedalaman air 1.2 meter.

“Kami juga terpaksa mengguna tali untuk menyelamatkan mangsa termasuk seorang orang kurang upaya (OKU) berusia 18 tahun,” katanya.

Jafri berkata, kesemua mangsa dipindahkan sementara di rumah jiran dan kembali ke rumah ma­sing-masing selepas air surut pada pukul 7 pagi.