Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Nilai, Pegawai Bomba Kanan II, Mohd. Syazwan Said berkata, pihaknya bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan daripada seorang wanita berhubung kejadian itu pada pukul 10.58 pagi.

Ujarnya, apabila tiba di lokasi kejadian, pasukan bomba yang terdiri daripada 10 anggota mendapati seekor anak kucing terperangkap di dalam longkang sedalam kira-kira lima meter.

"Seorang anggota masuk ke dalam longkang untuk menyelamatkan kucing itu yang kemudian diberikan air sebelum haiwan tersebut dibersihkan," katanya di sini hari ini.

Menurut Mohd. Syazwan, aduan berhubung kejadian itu diterima daripada seorang guru jahitan, Lili Faizah Abdul Satar, 43, yang terdengar bunyi anak kucing semasa dalam perjalanan ke tempat kerjanya.

Katanya, wanita itu cuba mengeluarkan anak kucing itu tetapi tidak berjaya lalu menghubungi pihak bomba. - UTUSAN ONLINE