JBPM menerusi satu kenyataan berkata, Muhammad Adib kini sedang bertarung nyawa dan hanya bergantung kepada sistem sokongan hayat di Unit Unit Rawatan Rapi (ICU) Pusat Perubatan Subang Jaya.

“JBPM mengharapkan agar tiada sebarang penyataan yang tidak benar disebarkan orang yang tidak bertanggungjawab berkenaan dengan keadaan sebenar Muhammad Adib Mohd. Kassim.

“Pegawai ini masih dirawat di SJMC,” katanya menerusi entri terbaharu di Facebook rasmi jabatan itu di sini hari ini.

Keadaan Muhammad Adib sangat kritikal ketika ini dan doktor memaklumkan terdapat banyak kesan lebam di dada akibat dipukul dengan objek tumpul selepas diserang kumpulan perusuh yang berhimpun di sekitar Kuil Maha Mariamman, USJ 25 dekat sini awal pagi tadi.

Selain itu, tulang rusuknya juga patah sekali gus menyebabkan tercucuk pada paru-paru sehingga menyebabkan kesukaran bernafas dan paru-paru tidak dapat berfungsi dengan baik dan kini keadaannya dipantau oleh lima doktor pakar.

Sementara itu, tunang kepada Muhammad Adib, Nurul Najihah turut memaklumkan perkara sama dan memohon agar netizen supaya tidak menyebarkan berita mengenai kematian anggota bomba berkenaan.

"Tunang saya masih selamat. Tolong hentikan yang bukan-bukan. Doakan dia," katanya menerusi akaun Facebook. - UTUSAN ONLINE