Pengerusi BiKUM, Datuk Dr. Shamsul Anuar Nasarah berkata, pada peringkat permulaan bagi negeri ini, pihaknya telah menyediakan sekitar 5,000 bungkusan barangan keperluan kepada mangsa dan bantuan akan diteruskan dari semasa ke semasa.

Katanya, bantuan tersebut digerakkan oleh UMNO setiap bahagian bagi memudahkannya sampai segera di lokasi-lokasi yang memerlukan.

“Kita mula menggerakkan bantuan sejak kelmarin di negeri yang dilanda banjir dan bantuan terbabit akan diberikan secara berterusan mengikut keperluan.

“Alhamdulillah, lawatan dua hari saya di Kelantan mendapati cuaca semakin baik walaupun mangsa banjir masih meningkat.

“Bagaimanapun, kita meminta penduduk agar sentiasa berwaspada kerana selalunya Kelantan akan dilanda banjir beberapa kali,” katanya ketika ditemui selepas melawat mangsa banjir di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Lati di sini semalam.

Seramai 1,081 mangsa membabitkan 468 keluarga ditempatkan di pusat pemin­dahan sementara (PPS) itu sejak tiga hari lalu.

Mengulas lanjut, beliau memberitahu, pihaknya bersiap-sedia untuk turun ke mana-mana negeri yang dilanda banjir selepas ini.

“Selain itu, kita juga amat berterima kasih kepada agensi kerajaan yang terbabit dengan banjir termasuk Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM),” katanya.