SHAMSUL ANUAR NASARAH
SHAMSUL ANUAR NASARAH

Pengerusi BiKUM, Datuk Dr. Shamsul Anuar Nasarah berkata, dengan peruntukan sebanyak itu, pihaknya menghantar lima kumpulan unit perubatannya, BiKUM Medic Team ke Pulau Pinang bagi memberikan rawatan percuma dan sumbangan kepada rakyat di negeri itu.

“Pasukan perubatan ini akan memberikan bantuan perubatan kepada mangsa yang terkesan atau trauma akibat banjir terburuk yang melanda Pulau Pinang sejak minggu lalu.

“Kita membawa doktor perubatan daripada pelbagai ke­pakaran dan kakitangan yang berkaitan dengannya bagi me­ngesan dan merawat penyakit terutama bawaan air akibat banjir.

“Selain rawatan perubatan, BiKUM turut menyediakan ubat-ubatan bagi penyakit kronik seperti darah tinggi dan ken­cing manis kepada mangsa banjir yang mana ubat-ubatan mereka telah dihanyutkan air,” katanya kepada pemberita ketika sidang akhbar dekat sini, hari ini.

Yang turut hadir, Ketua BiKUM Medic Team, Dr. Mohamad Akmal Saleh dan Pegawai BiKUM Me­dic Team, Dr. Mohamad Erhan Rahimi Ab. Rahman.

Shamsul yang membuat pelepasan Medic Team ke Pulau Pinang berkata, misi bantuan kali ketiga BiKUM ke Pulau Pinang itu akan berada di kawasan utama di Nibong Tebal, Bagan, Kepala Batas, Permatang Pauh, Bukit Mertajam, Tasek Gelugor, Batu Kawan, Balik Pulau, Bukit Gelugor dan Jelutong serta beberapa tempat lain.

“BiKUM akan bersama 1,000 sukarelawan dan Biro Kebajikan UMNO Pulau Pinang serta Jalinan Rakyat (JR) bagi membantu mangsa banjir dan mengagihkan sumbangan dari rumah ke rumah.

“Setiap sumbangan yang diberikan BiKUM be­rupa bantuan kit ke­perlu­an harian, ti­lam toto termasuk sumbangan kepada pelajar kolej dan universiti yang menjadi mangsa da­lam bencana itu,” katanya.

Sebelum ini, BiKUM turut membantu mangsa banjir di Pulau Pinang daripada segi bantuan selimut dan bahan makanan di beberapa kawasan yang dilanda banjir pada Sabtu dan Isnin lalu.

Sementara itu, Shamsul Anu­ar berkata, BiKUM akan terus menghulurkan bantuan tanpa mengira kaum mahupun perbezaan politik kerana ia sebagai tanda simpati pihaknya kepada rakyat yang terkesan dengan bencana banjir ini.