Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ini bagi memastikan supaya tiada sebarang kejadian tidak diingini berlaku khususnya kepada masyarakat yang tinggal di luar bandar.

“Kita bimbang jika ada gelombang kedua memandangkan Jabatan Meteorologi sebelum ini telah mengeluarkan kenyataan bahawa banjir dijangka melanda bermula pada 8 Disember ini jadi para penduduk di luar bandar perlu bersiap sedia lebih awal.

“Pihak Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) banyak membantu mangsa banjir di Pulau Pinang dan Kelantan sebelum ini jadi untuk gelombang kali ini kami sudah bersedia untuk mengge­rakkan lebih 4,000 sukarelawan dan menyediakan ‘survival kit’ semasa dan selepas banjir,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan Survival Kit [email protected] di Universiti Kuala Lumpur (UniKL), di sini hari ini.

Yang turut hadir Ketua Setiausaha KKLW, Datuk Borhan Dolah; Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr. Awang Adek Hussin dan Pro Canselor UniKL, Datuk Seri Dr. Adham Baba.

Sebanyak 4,000 survival kit dilancarkan dengan melibatkan seramai 4,416 sukarelawan bagi membantu mangsa-mangsa banjir di Pantai Timur.

Antara barang keperluan asas yang disediakan dalam survival kit tersebut adalah beg sandang, tuala, makanan, air mineral dan alat pertolongan cemas.

Setakat ini, sebanyak 105 pusat pemindahan di Kelantan, Terengganu dan Pahang telah ditutup setelah banjir beransur pulih.