Titah baginda, kegagalan berbuat demikian antara pihak-pihak terlibat seperti agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) boleh menyebabkan pertindihan bantuan serta pembaziran tenaga kerja.

“Kita tidak mahu berlaku pertindihan bantuan apabila terdapat satu keluarga itu mendapat banyak bantuan daripada pelbagai agensi, sebaliknya ada keluarga yang tersisih.

“Saya juga berharap supaya tenaga kerja tidak dibazirkan,” titah baginda ketika mencemar duli melawat mangsa banjir di Balai Raya Kampung Sepayang di sini hari ini.

Yang berangkat sama Tengku Puan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dan turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Muhammad Safian Ismail; Ahli Parlimen Rompin, Datuk Seri Hasan Arifin serta pemimpin-pemimpin setempat.

Sehingga pukul 12 tengah hari ini, seramai 633 mangsa banjir daripada 168 keluarga ditempatkan di sembilan pusat pemindahan sementara di daerah ini. - UTUSAN ONLIE