Perdana Menteri berkata, kerajaan perlu memantau keadaan cuaca dan pelbagai perkara lain sebelum menentukan bentuk bantuan yang akan diberikan.

“Kita tengok dahulu sebab kita tidak tahu banjir yang berlaku ini berapa lama. Kita juga ada kesulitan kerana ada orang yang meng­anggap dirinya mangsa banjir sedangkan mereka tidak berpindah dan tidak berdaftar.

“Apabila tidak didaftarkan, susah untuk kita sampaikan bantuan termasuk wang ihsan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas melawat mangsa banjir di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Paloh Hinai di sini, hari ini.

Yang turut hadir isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor dan Pengerusi Biro Kebajikan UMNO, Datuk Shamsul Anuar Nasarah.

Terdahulu, Najib menaiki bot untuk meninjau keadaan bencana sebelum bertemu mangsa-mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara di Sekolah Kebangsaan Kinchir dan Balai Raya Tanjung Lepar.

Semasa di Balai Raya Kampung Tanjung Lepar, beliau meluangkan masa kira-kira 30 minit sambil menikmati hidangan ubi kayu rebus bersama mangsa banjir yang kebanyakannya warga emas.

Dalam kunjungan itu, Perdana Menteri yang juga Ahli Parlimen Pekan turut menyampaikan sumbangan dan mengumumkan pembinaan sebuah dewan untuk kegunaan orang ramai di kampung berkenaan.

Sementara itu, seorang mang­sa banjir di Balai Raya Kampung Tanjung Lepar, Ibrahim Mohd. Tia, 82, melahirkan rasa terharu kerana Perdana Menteri tidak pernah lupa menjenguk kawasan ber­kenaan setiap kali musim banjir.

“Saya terharu dengan keprihatinan beliau kerana setiap kali banjir melanda, pasti Perdana Menteri datang bertanya khabar dan makan bersama kami,” jelasnya.

“Walaupun sibuk dengan tugas sebagai pemimpin nombor satu negara, beliau sanggup meluangkan masa berkongsi kedukaan kami,” jelasnya.