Kebakaran yang berlaku pukul 9.55 malam itu memusnahkan keseluruhan bengkel selain sebuah lori tiga tan, sebuah kereta dan sebuah van.

Difahamkan kebakaran bermula dari salah sebuah kabin kosong yang menjadi tempat penginapan pekerja dan ketika kejadian terdapat seramai empat orang pekerja yang tinggal di sebuah lagi kabin di bengkel itu.

Seorang pekerja bengkel, Rahmat Sulong , 22 , berkata, ketika kejadian dia bersama tiga lagi rakannya sedang membaiki sebuah kotak suis elektrik di sebelum melihat api di salah sebuah kabin di bengkel tersebut.

“Masa itu saya tengah membaiki papan suis kerana bekalan elektrik terputus dan bila saya memeriksa memang tiada bekalan elektrik yang masuk di dalam kabin.

“Bila saya keluar daripada kabin, saya terpandang kabin yang sebuah lagi dan melihat ada api dan saya pergi untuk melihat. Apabila saya buka pintu api dah menjadi besar,” katanya.

Menurutnya lagi, dia dan tiga lagi rakannya cuba memadamkan kebakaran tersebut namun tidak berjaya sebelum mengarahkan rakannya yang lain untuk melarikan diri.

Sementara itu, ketua Balai Bomba dan Penyelamat Paka, Penolong Penguasa Bomba, Mohd. Rezuan Adnan ketika ditemui berkata, pihaknya menerima panggilan berkenaan kejadian tersebut pada pukul 10.10 malam dan bergegas ke lokasi kejadian bersama kekuatan 8 orang anggota bersama sebuah jentera FRT dan sebuah jentera Water Tanker. - UTUSAN ONLINE