Kumpulan aktivis alam sekitar telah acap kali membangkitkan kebimbangan mereka tentang pembangunan berlebihan termasuk di lereng dan cerun bukit yang mengakibatkan banjir kilat kerap berlaku di negeri itu.

Bayangkan, antara 2013 dan Oktober lalu sahaja, Pulau Pinang mengalami 119 kejadian banjir kilat. Apakah purata 20 kejadian banjir kilat setiap tahun adalah perkara biasa dan masih tidak cukup sebagai bukti bahawa alam sekitar di negeri itu sedang ‘nazak’ akibat ketamakan manusia?

Pada 21 Oktober lalu, alam sekali lagi menunjukkan kemurkaannya terhadap kerakusan manusia menarah dan menggondolkan hutan serta bukit-bakau.

Dalam kejadian itu, seramai 11 orang pekerja binaan terbunuh selepas tertimbus runtuhan tanah di tapak projek perumahan mampu milik 50 tingkat di Lengkok Lembah Permai, Tanjung Bungah.

Namun, kejadian itu masih tidak cukup untuk memberi pengajaran kepada Kerajaan DAP Pulau Pinang bahawa pembangunan berlebihan di kawasan lereng bukit atau berhampiran cerun bukit bakal mengundang musibah.

Kemuncaknya pada 4 November dan 5 November lalu, Pulau Pinang lumpuh selepas dilanda banjir besar yang meragut tujuh nyawa, kebanyakannya warga emas akibat lemas dan dihempap pokok.

Banjir itu disifatkan sebagai yang paling teruk dalam sejarah negeri itu. Hujan lebat berterusan selama lebih 17 jam berserta angin kencang menyebabkan kebanyakan kawasan di kesemua lima daerah di negeri itu dinaiki air, disusuli hakisan tanah dan pokok tumbang.

Banjir seteruk itu tidak pernah dialami penduduk Pulau Pinang sehinggakan Ketua Menteri, Lim Guan Eng terpaksa menghubungi Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi bagi merayu bantuan pasukan penyelamat Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Gesaan SAM

SAHABAT Alam Malaysia (SAM) menggesa Kerajaan DAP Pulau Pinang menghentikan serta-merta semua projek pembangunan di lereng bukit yang sedang dilaksanakan ketika ini termasuk di bawah paras 76 meter dari aras laut yang dibenarkan.

Presidennya, S.M. Mohamed Idris berkata langkah itu bagi membolehkan kerajaan negeri melakukan siasatan dan pemantauan serius terhadap tahap risiko serta ancaman tanah runtuh.

“Kerja-kerja tanah di kawasan lereng bukit sama ada di bawah paras 76 meter dari aras laut atau yang melebihi paras tersebut tidak wajar diteruskan, dalam situasi cuaca tidak menentu ketika ini,” katanya.

Beliau meminta kerajaan negeri tidak lagi meluluskan sebarang permohonan daripada pemaju untuk membangun kawasan lereng bukit termasuk di bawah paras 76 meter dari aras laut.

Sebelum itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang turut melawat mangsa-mangsa banjir di negeri itu, meminta Kerajaan DAP Pulau Pinang meneliti semua projek perumahan lereng bukit yang diluluskan dan menggesa pemaju agar tidak mementingkan keuntungan semata-mata.

Kemurkaan Tuhan?

SESETENGAH pihak melihat satu demi satu bencana yang menimpa Pulau Pinang ketika ini adalah kerana kemurkaan Tuhan disebabkan tindakan kerajaan negeri membenarkan penganjuran pesta arak “Oktoberfest” di negeri itu pada 15 Oktober lalu setelah diharamkan di beberapa negeri lain.

Apatah lagi, kata-kata Guan Eng semasa meraikan festival bir selama dua hari itu begitu mengguris perasaan umat Islam di negara ini.

Dalam ucapannya, beliau mengatakan bahawa ‘pelampau’ mungkin berjaya mengharamkan Oktoberfest di Selangor dan Kuala Lumpur tetapi mereka tidak akan berjaya di Pulau Pinang.

“Pulau Pinang tidak berminat melarangnya atau mengganggu kebebasan rakyat Malaysia. Kami bukan negara Taliban,” katanya. Sejak penganjuran festival bir yang mendapat kecaman umat Islam itu, Pulau Pinang terus dilanda pelbagai bencana alam.

Kifarah

Pada Januari 2015, Guan Eng dilaporkan mendakwa Kerajaan Pas Kelantan tidak tahu buat kerja sehingga negeri itu seperti tidak ada kerajaan semasa dilanda banjir besar pada 2014.

Setiausaha Agung DAP yang belum disahkan jawatan itu turut mendakwa banjir kilat yang berlaku di Kuala Lumpur disebabkan kelemahan kerajaan Barisan Nasional (BN).

Namun, selama dua penggal mentadbir Pulau Pinang, beliau masih gagal menyelesaikan masalah banjir di negeri itu.

Ketika dilanda banjir besar pada 4 dan 5 November lalu, apakah Kerajaan DAP Pulau Pinang mampu mengendalikan bencana itu?

Tidak. Guan Eng terpaksa meminta bantuan daripada Kerajaan Pusat untuk mengendalikan situasi banjir di negeri itu.

Perdana Menteri turut menyatakan Kerajaan Persekutuan sedia mempertimbangkan peruntukan tambahan sebanyak RM1 bilion yang diperlukan untuk melaksanakan projek tebatan banjir di negeri itu.

Kerajaan Pas Kelantan juga menunjukkan sikap berjiwa besar dengan mengumumkan bantuan RM50,000 dan menghantar sukarelawan bagi membantu mangsa-mangsa banjir di Pulau Pinang.

Fenomena Belalai Air

MUNGKIN secara kebetulan, fenomena belalai air berlaku berhampiran Jambatan Pulau Pinang pada 29 Oktober lalu, seminggu sebelum negeri itu dilanda banjir besar.

Sesetengah orang teruja melihat fenomena yang amat jarang berlaku itu, manakala sebahagian lain beranggapan ia adalah petanda yang tidak baik.

Itu adalah kali ketiga fenomena itu dilaporkan terjadi di Pulau Pinang pada tahun ini selepas kali pertama pada Mac lalu dan kedua pada Julai lalu.

Fenomena Fujiwara

PERTEMBUNGAN antara taufan Damrey yang melanda Vietnam dan satu taufan lebih kecil di Teluk Siam mencetuskan fenomena Fujiwara yang didakwa menyebabkan hujan lebat berterusan sehingga berlaku banjir di Pulau Pinang.

Itu ada benarnya tetapi ia cuma menyumbang kepada taburan hujan yang tinggi. Penyumbang utama banjir adalah pembangunan yang terlalu pesat.

Ia berlaku apabila tanah dan hutan yang berfungsi menyerap air hujan digondolkan atau ditukar kepada permukaan yang tidak telap air sehingga air mengalir dengan pantas dan banyak ke dalam sistem perparitan.

Kegagalan pemimpin

SEMASA rakyat Pulau Pinang berhadapan dengan musibah banjir, beberapa wakil rakyat DAP menjadi sasaran kemarahan penduduk yang tidak berpuas hati dengan sikap mereka ketika membantu mangsa banjir.

Antaranya, video yang menunjukkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan Datuk Keramat, Jagdeep Singh Deo dimarahi seorang penduduk bernama Sofian Mohd. Zain, kerana enggan meminta bantuan pihak berkuasa tempatan atau bomba bagi membersihkan sebuah masjid di Jalan P. Ramlee.

Dalam satu lagi video yang tular menunjukkan seorang penduduk melepaskan kemarahan dan kekecewaan ketika Ahli Parlimen Bukit Gelugor daripada DAP, Ramkarpal Singh Deo kerana kerajaan negeri tidak menyediakan jet air untuk penduduk membersihkan rumah dan tilam untuk mereka tidur.