Mohamad Nur Syafiq Mohamad Naser
Mohamad Nur Syafiq Mohamad Naser

Kesedihan Rosenah dapat di­gambarkan apabila memberitahu niat anaknya bekerja sambilan di sebuah syarikat swasta bagi membersihkan saluran air adalah untuk menambah pendapatan demi memberi kehidupan yang selesa kepada dua anak perempuannya.

Namun siapa sangka, hasrat murni itu terkubur apabila lelaki tersebut maut bersama rakan sekerja, Mohamad Ilaala Che Aziz, 27, semasa sedang bertugas membersihkan saluran air.

“Adik (Mohamad Nur Syafiq) kerja di kedai perabot di Pokok Assam dan kerja bersih saluran air hanya kerja sambilannya. Dia mahu cari duit untuk bagi anak-anaknya hidup senang.

“Kali terakhir saya berjumpa adik pada pukul 9.30 malam tadi dan sebelum keluar dia ada mengadu letih namun dipanggil bekerja kerana tidak cukup orang,” katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini hari ini.

Menurut Rosenah, anak bongsu daripada tiga beradik itu merupakan seorang yang sangat baik dan ringan tulang serta tidak suka menyusahkan orang.

“Adik bukan sahaja paling rapat dengan saya malah dia seorang anak yang boleh diharap dan telah tinggal bersama sejak lebih setahun lalu selepas bercerai dengan isterinya.

“Saya tidak tahu apa yang terjadi namun diberitahu tentang kejadian itu oleh seorang anggota polis. Walaupun masih belum mampu menerima berita ini, saya perlu reda. Saya lihat adik pun kelihatan seperti sedang tidur,” katanya yang memberitahu jena­zah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Trong, Taiping.

Sementara itu, usaha pembe­rita untuk menemubual Siti Ma­riam Sukri, 38, yang merupakan isteri kepada Mohamad Ilaala gagal apabila wanita tersebut enggan ditemubual kerana sedang bersedih.

Mohamad Ilaala meninggalkan dua anak lelaki berusia sembilan dan 12 tahun.