Dalam kejadian kira-kira pukul 3.45 pagi itu, turut cedera adalah ibu bayi terbabit, Norashila Ishak dan saudaranya, Norsyuhada.

Difahamkan, kenderaan je­nis Perodua Kelisa dinaiki tiga saudara itu dilanggar kenderaan jenis Honda CRV yang dinaiki pasangan suami isteri dipercayai berada dalam keadaan mabuk.

Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Baharuddin Mat Taib berkata, siasatan awal mendapati kenderaan dinaiki pasangan suami isteri itu dari arah Klang menuju Kuala Lumpur telah melanggar bahagian belakang kanan ken­deraan dipandu Norashila.

Katanya, akibat daripada pelanggaran itu, kereta dipandu mangsa terbalik di bahagian tengah jalan, manakala pemandu kereta Honda CRV hilang kawalan menyebabkan kenderaannya juga terbabas kira-kira 50 meter di hadapan.

“Ketika tiba di tempat kejadian, semua mangsa tiada di tempat kejadian dan telah dihantar ke Hospital Shah Alam untuk menerima rawatan.

“Kemalangan itu mengakibatkan bayi tersebut tidak sedarkan diri, manakala ibunya mengalami kecederaan dalaman dan patah tangan sementara saudaranya cedera di leher serta masih dalam pemantauan doktor,” katanya di sini hari ini.

Dalam pada itu, jelas Baharuddin, keadaan pasangan suami isteri itu dilaporkan stabil namun mereka juga me­ngalami kecederaan masing-masing patah tulang muka dan tulang belakang.

Ditanya mengenai dakwaan bahawa kenderaan dipandu pasangan suami isteri itu da­lam keadaan mabuk, Baharuddin menjelaskan sehingga kini pihaknya tidak menerima laporan berkaitan itu.

“Setakat ini tiada laporan diterima, namun sekiranya benar dakwaan ini kita akan menahan mereka dan mengambil tindakan undang-undang,” katanya sambil menambah kes disiasat mengikut Seksyen 43 Akta Pengangkutan Jalan 1987.