Ketua Polis daerah, Deputi Superintenden Kamarul Rizal Jenal berkata, mangsa, Wong Qan Ton disahkan meninggal dunia di Hospital Tuanku Jaafar (HTJ), Seremban berikutan kecederaan di kepala.

Menurutnya, kemalangan ber­la­ku di Kilometer 19.3 Jalan Se­remban-Simpang Pertang di sini kira-kira 7.30 malam semalam apabila kereta Toyota Vios dipandu ibu Qan Ton, Lim Hui Chee, 25, dalam perjalanan pulang ke rumah di Titi dari arah Seremban.

Ujarnya, siasatan awal mendapati sebaik tiba di lokasi kejadian kereta dipandu Hui Chee terbabas ketika mengambil satu selekoh lalu memasuki laluan bertentangan.

“Kenderaan itu kemudian me­langgar sebuah Honda Civic dari arah bertentangan menyebabkan kenderaan Hui Chee berpusing beberapa kali dan dilanggar pula sebuah kereta Proton Saga menyebabkan bayi dipangku suaminya, Wong Ting Sing, 26, tercampak dari kereta.

“Bayi itu dihantar ke Hospital Jelebu sebelum dirujuk ke HTJ, Seremban untuk rawatan lanjut namun meninggal dunia pukul 7.50 pagi ini,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Tambah Kamarul Rizal, polis masih menjalankan siasatan lanjut di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.