Timbalan Ketua Polis Daerah Jelebu, Deputi Superintenden Kamarul Rizal Jenal berkata, kemalangan berlaku di Kilometer 19.3 Jalan Seremban-Simpang Pertang kira-kira pukul 7.30 malam.

"Kemalangan itu membabitkan tiga buah kenderaan dan bayi itu, Wong Qan Ton tercampak keluar dari kereta jenis Toyota Vios yang dipandu ibunya, Lim Hui Chee, 25.

"Ketika kemalangan dia dikatakan berada dalam pangkuan bapanya, Wong Ting Sing, 26. Bayi itu dihantar ke Hospital Jelebu sebelum dirujuk ke Hospital Tuanku Ja'afar dan disahkan meninggal dunia pukul 7.50 pagi ini ekoran kecederaan di kepala," katanya di sini hari ini.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Jelebu, Mohd. Fazill Mohd. Yunus berkata, pihaknya menerima laporan kemalangan itu pada pukul 7.39 malam dan tujuh pegawai serta anggota bersama sebuah jentera dikerahkan memberi bantuan.

"Sewaktu kami tiba di lokasi kemalangan, mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Jelebu oleh orang awam," katanya. - UTUSAN ONLINE