Dalam kejadian pukul 5.30 petang itu, sepasang suami isteri bersama dua anak mereka berusia dua tahun dan tiga bulan itu menaiki kereta Toyota Vios dari Alor Setar, Kedah menghala ke rumah mereka di Taman Kurnia Jaya, Pengkalan Chepa.

Bayi itu, Muhammad Hadif Hilmifarizal maut di tempat kejadian manakala tiga yang terselamat iaitu Hilmifarizal Saad, 31, isterinya Nur Fariza Zainol, 31, dan anak sulung mereka, Hani Zhafira, 2, parah dan kini dirawat di Hospital Jeli.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Jeli, Penolong Penguasa Bomba Mohamad Shahril Mohamad Sa’aid berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 6.44 petang.

“Operasi mencari dan menyelamat kesemua mangsa bermula pada pukul 7.30 malam dan berakhir pada pukul 11.26 malam dengan kerjasama anggota dari Gerik, Perak.

“Pihak bomba berjaya mengeluarkan kesemua mangsa secara berperingkat. Tiga mangsa mengalami kecederaan parah manakala bayi lelaki dipercayai meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Jeli, Deputi Superintendan Mohd. Yusoff Jaafar mengesahkan kejadian tersebut.

“Difahamkan, ketika tiba di tempat kejadian, kereta yang dipandu Hilmifarizal hilang kawalan lalu terbabas dan masuk ke dalam gaung,” katanya. - UTUSAN ONLINE