Dalam kejadian, kira-kira pukul 5 petang itu, mangsa, Aamina Inayah Mohd. Hafezul, 1 tahun 5 bulan, mengalami kecederaan dalaman disahkan meninggal dunia setengah jam ketika menerima rawatan di Hospital Gua Musang.

Ketua Polis Daerah Superintenden Mohd. Taufik Maidin berkata, ibu pengasuh bayi itu, Che Jah Yaacob, 54 , cuba mengalih kedudukan kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Fortuner yang berada di luar ke dalam garaj di hadapan rumahnya.

Katanya, ketika mengundurkan kenderaan itu, ibu pengasuhnya tidak menyedari bayi itu berjalan keluar dan berada di luar rumah.

“Ketika kejadian pengasuh bayi terbabit berusia 20 tahun berada di dalam rumah dan tidak menyedari bayi terbabit keluar.

“Bagaimanapun, selepas perlanggaran itu, pengasuh itu bergegas dan melihat bayi itu terbaring dan menangis. Pengasuhnya segera membawa bayi tersebut ke hospital untuk menerima rawatan,” katanya.

Difahamkan bayi itu, baharu seminggu lalu tinggal di rumah pengasuhnya kerana bapanya bekerja di Pejabat Tanah Jajahan Gua Musang dan ibunya bekerja sebagai jururawat di Arab Saudi.

Sementara itu, pengasuh bayi berkenaan, Nur Syamimi Ibrahim, 20, ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Gua Musang berkata, dia tidak menyangka kejadian itu kerana bayi itu baharu saja belajar berjalan. - UTUSAN ONLINE